The Inauguration of the School in Hospital (SDH) at Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang

27 Mei 2025

Program Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Seberang Jaya telah mula beroperasi secara rasmi pada 5 Ogos 2024 dengan kekuatan seramai lima orang tenaga kerja, terdiri daripada empat orang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Hospital Seberang Jaya merupakan hospital pertama di Pulau Pinang yang terpilih sebagai perintis dalam pelaksanaan program ini. Pada peringkat awal, pengoperasian dijalankan di perpustakaan hospital lama yang diubah suai bagi menempatkan bilik guru dan PPM, manakala sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan sepenuhnya di wad hospital selama tempoh 10 bulan.

Bermula 26 Mei 2025, SDH telah beroperasi di bangunan baharu Hospital Seberang Jaya yang dilengkapi dengan kemudahan lengkap dan prasarana yang selesa mengikut model kelas Abad Ke-21 (PAK21). Kemajuan ini adalah hasil kelulusan peruntukan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, 𝐓𝐮𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐖𝐚𝐧 𝐒𝐚𝐣𝐢𝐫𝐢 𝐛𝐢𝐧 𝐖𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐬𝐬𝐚𝐧 pada awal tahun 2025. Pada 25 Mei 2025, tiga bilik darjah iaitu untuk kelas menengah, rendah dan prasekolah telah siap dengan kelengkapan seperti kabinet, meja, kerusi, rak buku dan perabot yang kondusif untuk digunakan oleh guru dan murid.
 
Secara keseluruhan, terdapat dua kelas PdP disediakan: satu kelas menengah yang mampu menampung sehingga 10 orang murid setiap sesi, manakala kelas rendah dan prasekolah masing-masing boleh memuatkan 10 dan 5 orang murid. Penubuhan SDH ini bertujuan memastikan murid yang menerima rawatan di hospital tetap dapat mengikuti sesi PdP dalam suasana pembelajaran yang kondusif. Inisiatif ini juga menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menangani isu keciciran murid, khususnya bagi golongan yang terpaksa menjalani rawatan jangka panjang.
 
Kunjungan mesra ini diadakan bersempena majlis persaraan 𝐓𝐮𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐖𝐚𝐧 𝐒𝐚𝐣𝐢𝐫𝐢 𝐛𝐢𝐧 𝐖𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐬𝐬𝐚𝐧 dan telah disertai oleh pelbagai pihak termasuk Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah), Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Seberang Jaya, KPPK TVET mewakili Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, KPP Unit Sekolah Jenis Khas merangkap Pegawai Penyelaras Program SDH JPNPP, pegawai-pegawai Unit Sekolah Jenis Khas JPN, Timbalan Pengurusan Sekolah PPD Seberang Perai Tengah, Penyelia SDH, guru-guru SDH serta pegawai-pegawai dari Hospital Seberang Jaya. Kehadiran ini mencerminkan sokongan dan penghargaan terhadap usaha murni dalam menjayakan pendidikan inklusif di negeri Pulau Pinang.